Seperti yang kita sedia maklum, pengambilan guru interim
bertujuan untuk memenuhi kuota 90:10 anak watan Sabah dan Sarawak sebagai guru
di sekolah rendah dan menengah.
|
Terdahulu di Kosmo 27 Jan 2019, Muhammad Dzul Harith |
Namun, apakah relevannya pengambilan guru interim (selain bidang
agama dan bahasa) apabila graduan pendidikan universiti awam dipinggirkan?
Alasan yang telah diberikan semasa perjumpaan bersama Pengarah JPN Sabah
pada 12 Julai lalu adalah kerana laluan graduan pendidikan universiti awam
untuk menjadi guru adalah mudah melalui temu duga lantikan tetap oleh
Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Tanggapan pihak JPN Sabah ini amat mengejutkan kami kerana hakikat yang
kami perlu hadapi adalah graduan pendidikan universiti awam bukan sahaja
disisihkan di bidang industri, tetapi oleh pihak Kementerian Pendidikan dan JPN
Sabah sendiri.
Pihak JPN Sabah
seharusnya mengikuti langkah JPN Sarawak yang mengutamakan graduan pendidikan
universiti awam dalam pengambilan guru interim baru-baru ini. Malah, guru
interim dari kalangan graduan pendidikan universiti awam tidak perlu menjalani
Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG).
Pihak JPN
Sabah juga perlu menilai kembali kekosongan jawatan guru interim sebanyak 400
yang akan datang untuk dikhaskan kepada graduan pendidikan universiti awam
kelahiran Sabah.
Kekosongan
itu mencukupi untuk diisi oleh graduan pendidikan universiti awam yang masih
belum ditempatkan seramai hampir 400 orang.
Pihak JPN
Sabah juga mengakui kelemahan pengambilan graduan bukan pendidikan untuk
mengajar di sekolah. Kenyataan ini pernah dikeluarkan sendiri semasa taklimat
guru interim pada Julai 2018 yang mendorong pengambilan ini semuanya dari
graduan pendidikan universiti awam.
Adalah tidak
wajar sekiranya pihak JPN Sabah tergesa-gesa memenuhi kuota 90:10 sehingga
tidak menitikberatkan kualiti guru itu sendiri.
Kami juga
masih tertanya-tanya tindakan pihak Kemenyerian Pendidikan berkenaan isu guru
interim setelah tiga kali pertemuan yang telah dilakukan pada tahun lalu
bersama mereka. Isu ini antara punca lambakan graduan pendidikan universiti
awam.
Akhir sekali,
pihak kami amat berharap agar pengambilan guru interim yang dijalankan oleh
pihak Kementerian Pendidikan dan JPN agar mengutamakan graduan pendidikan
universiti awam kerana dengan cara inilah, ia dapat membantu mengurangkan
lambakan graduan pendidikan universiti awam.
* Penulis
merupakan wakil Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam (GGPUA), sebuah
gerakan yang mengumpulkan graduan pendidikan dari seluruh negara bagi
memperjuangkan penempatan mereka sebagai guru. Sudah masuk tahun ketiga gerakan
ini ditubuhkan namun masih terdapat ribuan graduan pendidikan yang tidak
ditempatkan sebagai guru.