KPM Berhasrat Tambah Guru Kaunseling | Nisbah 250 Murid 1 Guru

NILAI: Kementerian Pendidikan berhasrat menyasarkan nisbah seorang kaunselor bagi setiap 250 murid serta pelajar di sekolah rendah dan menengah.
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching, berkata ketika ini nisbah seorang kaunselor bagi sekolah rendah adalah 350 murid, manakala sekolah menengah pula 500 pelajar.
Beliau mengakui seramai 9,445 kaunselor sedia ada, termasuk 5,780 kaunselor di sekolah menengah dianggap masih tidak mencukupi.
“Ketika ini kementerian sedang jalankan kajian terperinci mengenai isu ini dan diharap dapat mencapai cadangan nisbah seorang kaunselor kepada 250 murid dan pelajar.
“Usaha ini perlu mendapat persetujuan daripada pelbagai agensi lain kerana membabitkan isu bajet dan kakitangan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Guru Bimbingan dan Kaunseling (India) Malaysia di Universiti Antarabangsa Manipal Malaysia di sini, hari ini.
Terdahulu ketika berucap, Nie Ching berkata, kementerian sedar akan keperluan menambah kaunselor dan memberi perhatian lebih serius isu itu demi manfaat lebih lima juta murid dan pelajar sekolah seluruh negara.
Katanya, pelbagai insiden yang berlaku dalam kalangan murid dan pelajar sekolah ketika ini, termasuk masalah pencemaran kimia, kes bunuh diri dan kemurungan menunjukkan kementerian perlu lebih berusaha memperkasa kaunselor.
“Insiden sedemikian membuka mata masyarakat tentang kepentingan perkhidmatan kaunseling dalam menjalankan intervensi krisis kepada mangsa dan keluarga.
“Oleh itu, wajarlah kaunselor dari semasa ke semasa mempersiapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran baharu,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan juga sedang berusaha memperbaiki sistem sokongan sedia ada itu secara berterusan.
Katanya, usaha berterusan yang dijalankan ketika ini termasuk menjalankan saringan muda sihat membabitkan 20 peratus murid di setiap tingkatan selain mempromosikan program minda sihat.
- BH, 29 Ogos 2019 
Berkaitan : Sinar Harian
Share:

FACEBOOK

ENTRI POPULAR

ENTRI TERKINI