Saya mewakili ribuan graduan pendidikan universiti awam yang masih menunggu panggilan temu duga dan penempatan guru ingin mengajukan soalan ini kepada pihak Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah.

Seperti yang kita sedia maklum, pengambilan guru interim bertujuan untuk memenuhi kuota 90:10 anak watan Sabah dan Sarawak sebagai guru di sekolah rendah dan menengah.
Terdahulu di Kosmo 27 Jan 2019,
Muhammad Dzul Harith
Namun, apakah relevannya pengambilan guru interim (selain bidang agama dan bahasa) apabila graduan pendidikan universiti awam dipinggirkan?
Alasan yang telah diberikan semasa perjumpaan bersama Pengarah JPN Sabah pada 12 Julai lalu adalah kerana laluan graduan pendidikan universiti awam untuk menjadi guru adalah mudah melalui temu duga lantikan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

Tanggapan pihak JPN Sabah ini amat mengejutkan kami kerana hakikat yang kami perlu hadapi adalah graduan pendidikan universiti awam bukan sahaja disisihkan di bidang industri, tetapi oleh pihak Kementerian Pendidikan dan JPN Sabah sendiri.

Pihak JPN Sabah seharusnya mengikuti langkah JPN Sarawak yang mengutamakan graduan pendidikan universiti awam dalam pengambilan guru interim baru-baru ini. Malah, guru interim dari kalangan graduan pendidikan universiti awam tidak perlu menjalani Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG).

Pihak JPN Sabah juga perlu menilai kembali kekosongan jawatan guru interim sebanyak 400 yang akan datang untuk dikhaskan kepada graduan pendidikan universiti awam kelahiran Sabah.
Kekosongan itu mencukupi untuk diisi oleh graduan pendidikan universiti awam yang masih belum ditempatkan seramai hampir 400 orang.
Pihak JPN Sabah juga mengakui kelemahan pengambilan graduan bukan pendidikan untuk mengajar di sekolah. Kenyataan ini pernah dikeluarkan sendiri semasa taklimat guru interim pada Julai 2018 yang mendorong pengambilan ini semuanya dari graduan pendidikan universiti awam.
Adalah tidak wajar sekiranya pihak JPN Sabah tergesa-gesa memenuhi kuota 90:10 sehingga tidak menitikberatkan kualiti guru itu sendiri.
Kami juga masih tertanya-tanya tindakan pihak Kemenyerian Pendidikan berkenaan isu guru interim setelah tiga kali pertemuan yang telah dilakukan pada tahun lalu bersama mereka. Isu ini antara punca lambakan graduan pendidikan universiti awam.
Akhir sekali, pihak kami amat berharap agar pengambilan guru interim yang dijalankan oleh pihak Kementerian Pendidikan dan JPN agar mengutamakan graduan pendidikan universiti awam kerana dengan cara inilah, ia dapat membantu mengurangkan lambakan graduan pendidikan universiti awam.
* Penulis merupakan wakil Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam (GGPUA), sebuah gerakan yang mengumpulkan graduan pendidikan dari seluruh negara bagi memperjuangkan penempatan mereka sebagai guru. Sudah masuk tahun ketiga gerakan ini ditubuhkan namun masih terdapat ribuan graduan pendidikan yang tidak ditempatkan sebagai guru.
Artikel ini disiarkan di Utusan, 27 Julai 2019. SUMBER : Utusan