Graduan Dipelawa Memohon Guru Interim (GINT) | JPNS


KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) mengalu-alukan graduan yang mempunyai kelulusan minimum Ijazah Sarjana Muda pertama untuk memohon sebagai Guru Interim (Gint) di negeri ini.
Pengarah JPNS Dr Mistirin Radin berkata, ia bertepatan dengan hasrat kerajaan melalui JPNS untuk memenuhi Gint sebanyak 750 bagi tahun ini sebagai usaha mencapai Dasar 90:10 (2016-2021).
"Calon-calon yang layak akan dipilih akan menduduki Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) terlebih dahulu sebelum ke peringkat seterusnya iaitu temuduga bagi memastikan guru yang dilantik berkualiti.
"Setakat ini sahaja, kita sudah melantik 130 guru interim bagi opsyen Pendidikan Islam, manakala hari ini (Khamis) seramai 166 guru baharu pelbagai opsyen sudah ditempatkan di sekolah menengah dan rendah seluruh negeri," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Penempatan Guru Interim Sekolah Menengah dan Rendah Siri Satu 2019 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, di sini pada Khamis.
Jelasnya, kira-kira 400 guru interim untuk dilantik mengisi kekosongan di beberapa sekolah bagi tahun ini.
Selain itu, katanya, Dasar 90:10 setakat ini, bagi penempatan guru sekolah menengah yang berasal dari Sabah sudah mencapai 94 peratus.
Sementara, sekolah pendah pula sudah mencapai peratusan penempatan sejumlah 98 peratus bagi seluruh Sabah.
"Namun, usaha ini akan berterusan oleh kerana guru yang berasal dari Semenanjung akan beransur-ansur pindah ke tempat mereka.
"Sebab itu, kita di jabatan masih memerlukan pelapis ini sebagai pengganti kepada guru-guru Semenanjung yang akan berpindah," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mistirin menjelaskan 166 Gint baharu itu akan pergi ke penempatan sekolah masing-masing berkuatkuasa pada 1 Ogos depan.
Bagaimanapun, katanya, semua Gint perlu mengikuti Kursus Dalam Cuti (KDC) selama dua tahun selepas penempatan.
Selain itu, katanya, Gint juga tidak layak untuk memohon pertukaran melalui sistem E-Ganti selama lima tahun berhidmat bermula tarikh surat penempatan berkenaan.
Hadir sama pada majlis ialah Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Mohd Zaini Yanin.

- Utusan Borneo, 26.07.2019
Share:

FACEBOOK

ENTRI POPULAR

ENTRI TERKINI